Sabtu, 3 Februari 2018

Terkejut pak ustaz Bau hangit api misteri

Terkejut pak ustaz Bau hangit api misteri | Bukit Beruntung: “Api misteri ini akan muncul mendadak dan membakar kediaman penghuni. Kebiasaannya ia hanya disedari sebaik penghuni terhidu bau hangit,” kata pengurus Rumah Teduhan Kasih, Mohd Audi Azlie Mat Tahar, 39, yang pelik dengan kejadian misteri dialami sejak tujuh hari lalu.

Menurutnya, kebakaran yang terjadi tanpa punca itu memusnahkan pelbagai barangan kegunaan harian penghuni di dua unit kediaman teres dua tingkat di kawasan perumahan Jalan Kelab Golf Bukit Beruntung, di sini.

“Malah saya tambah pelik apabila kunci van, kunci motosikal, telefon bimbit, selipar dan kopiah penghuni turut hilang.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada gangguan makhluk halus itu turut memberi petunjuk ganjil dan menimbulkan tanda tanya,” katanya.

Mohd Audi berkata, kejadian aneh itu bermula pada pagi 28 Januari lalu apabila almari pakaian milik seorang daripada 37 penghuni pusat pemulihan dadah itu terbakar dari bahagian dalam.

“Kebakaran memusnahkan pakaian, tilam dan barangan lain. Kejadian pelik itu berlarutan hingga hari ini dan masih tidak terkawal.



“Ini memaksa kami mengeluarkan semua barangan yang ada dan meletakkannya di luar kediaman supaya mudah diawasi,” katanya.


“Peliknya selepas lebih tujuh jam kejadian, barangan itu ditemui semula di tempat lain dalam keadaan basah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, kehilangan kunci van disedari apabila penggera kenderaan berbunyi mendadak sebelum kunci diletakkan di dalam pejabat hilang begitu saja.

Mohd Audi Azlie berkata, dia mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan petunjuk dan penyelesaian termasuk mendapatkan khidmat pengamal perubatan Islam namun masih buntu.

“Saya cuba tinggalkan kertas kosong dan pen di dalam sebuah bilik dan terkejut bila kertas itu tertera perkataan ‘tutup’,” katanya.

Menurutnya, enam pengamal perubatan menawarkan bantuan untuk menyelesaikan masalah itu namun kejadian pelik berkenaan masih berlarutan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jom Klik

loading...
LIKE PAGE KAMI UNTUK BERITA TERKINI Button Close